Bantuan disalur ikut kemampuan
NAJIB menyampaikan replika cek kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali (dua dari kanan) sebagai simbolik bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi peruntukan hal ehwal Islam Wilayah Persekutuan  2011/2012 di Putrajaya, semalam.
NAJIB menyampaikan replika cek kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali (dua dari kanan) sebagai simbolik bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi peruntukan hal ehwal Islam Wilayah Persekutuan 2011/2012 di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan kepada rakyat dilaksanakan mengikut kemampuan, bersesuaian dengan konsep wasatiyah atau kesederhanaan, bukan untuk meraih sokongan semata-mata. 

Perdana Menteri berkata, bantuan secara sama rata kepada rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini dilakukan selepas berjaya mentadbir kerajaan dengan baik. “Kita buat dalam lingkungan kemampuan, maknanya ada keseimbangan dalam apa yang dilakukan, seperti amal jariah dan ibadat juga, jangan pula buat sesuatu yang boleh membawa mudarat.
“Jangan pula berjanji sesuatu dan tidak mampu dilaksanakan semata-mata nak raih sokongan, sedangkan apa yang kita janjikan itu sebenarnya dalam kepala (fikiran) dah tahu ia tidak mungkin dapat dilakukan dan ini bertentangan dengan konsep wasatiyah,” katanya pada program al-Kuliyyah yang diadakan di Dewan Bankuet Kompleks Seri Perdana di sini, semalam. 

Program yang pertama kali diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri itu mengetengahkan konsep wasatiyah itu menampilkan ahli panel membabitkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Syeikh Abdul Karim Omar Fatani Al-Makki dan penyanyi nasyid, Hafiz Hamidun. 

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Selama sejam program yang disiarkan secara langsung itu dikendalikan dua perantara, Ahmad Noor Sulaiman dan Zainal Ariffin Ismail. 

Perdana Menteri berkata, contoh ketara konsep wasatiyah yang dilaksanakan dalam pentadbiran terkini apabila rakyat menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 untuk keluarga berpendapatan kurang RM3,000, RM100 untuk pelajar dan baucar buku RM200 kepada pelajar institusi pengajian tinggi. 
Beliau berkata, konsep wasatiyah adalah gagasan bersifat komprehensif yang menjurus ke arah membentuk umat terbaik, bukannya hubungan sesama Islam saja malah berlaku adil kepada semua kerana itu adalah perintah Allah SWT 

“Teladan terbaik adalah Nabi Muhammad SAW kerana Rasulullah menghormati agama lain, contohnya menerusi Sirah Rasulullah ada menyebut apabila jenazah agama Yahudi melintasi Baginda, Rasulullah bangun dan tunjuk hormat,” katanya terharu menjadi tuan rumah untuk program al-Kuliyyah.