Apex Penyebab Haruman SimplySiti Habis
Apex Penyebab Haruman SimplySiti Habis
KL 16 APRIL 2012: Pandai Datuk Siti Nurhaliza mengatur langkah pemasaran untuk produk kecantikan SimplySiti yang kini sedang meletop di pasaran.
Baru-baru ini, Datuk Siti telah menambah pula haruman di bawah nama SimplySiti dan telah mengambil muka-muka baru menjadi jurucakap buat wangian berkenaan.
Bukan sebab apa Murai Batu kata Datuk Siti seorang yang pandai. Lihatlah salah seorang jurucakapnya, siapa lagi kalau bukan penjaga gol kebangsaan yang kontroversi iaitu Khairul Fahmi Che Mat atau dikenali dengan nama Apex.
Siapa tidak kenal Apex dan dia telah mewakili wangian Pure yang merupakan salah satu daripada tiga wangian di bawah jenama SimplySiti.
Habislah semua anak-anak gadis ingin memiliki haruman yang sama disebabkan Apex.
Murai Batu turut difahamkan oleh rakan yang hadir ke pelancaran tersebut, Pure telah mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan walaupun baru dua minggu ia berada di pasaran.
Malah, menurut orang kuat SimplySiti juga, untuk keluaran pertama ini Pure hanya tinggal beberapa ratus botol sahaja lagi.
Hebat sungguh penangan si Apex ini dan untunglah Datuk Siti kerana dapat menambat hati Apex untuk menjadi jurucakap haruman SimplySiti.
Macam mana pula dengan Leuniey Natasha yang menjadi model wanita tunggal dalam komersial bagi wangian tersebut?
Katanya dia dulu pernah rapat juga dengan Apex, maklumlah datang daripada negeri Cik Siti Wan Kembang juga.
Adakah Leuniey dipilih disebabkan kriteria dirinya yang berbakat dan mempunyai pakej lengkap sebagai seorang model seperti yang diberitahu sendiri oleh Datuk Siti Nurhaliza? Atau kerana kontroversi 'manja-manja' yang bertiup seketika satu masa dulu?
Murai Batu hanya mahu berkongsi kegembiraan berita kejayaan wangian SimplySiti sahaja. Selebihnya biar mereka sahaja yang tahu.
Apa yang penting, jika mahu menjadi wanita idaman Apex jangan lupa cepat beli haruman Pure daripada SimplySiti nanti habis.
Murai Batu: Wangi sangat pun pening juga dibuatnya.