Perutusan Sempena Hari Wanita Sedunia

Kemajuan Wanita, Kemajuan Malaysia


Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengiktiraf 8 Mac sebagai Hari Wanita Antarabangsa. Jika kita lihat pada kemajuan yang telah kita capai di Malaysia, tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian besar daripadanya telah diraih dengan kerjasama wanita di negara ini. Kerajaan telah mengiktiraf peranan wanita sejak Merdeka lagi, dan disebabkan oleh itu, program-program untuk wanita sentiasa menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan sosio-ekonomi kita.
Sebagai contoh, dalam pendidikan, kita telah melihat pertumbuhan yang amat memberangsangkan oleh kaum wanita. Tahukah anda bahawa pada tahun 1959 hanya satu daripada setiap 10 mahasiswa tempatan adalah wanita? Hari ini, lebih daripada enam daripada 10 pemegang ijazah kelas pertama adalah wanita. Malah, kita kini berhadapan dengan cabaran untuk meningkatkan kadar enrolmen dan pengekalan pelajar lelaki pula.
Dalam perjalanan kita untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang maju, kita juga telah berjaya menutup jurang perbezaan antara jantina dalam pembangunan ekonomi negara. Seperti yang digambarkan dalam infografik di bawah, 46.1% daripada wanita di Malaysia kini bekerja – dan kita mensasarkan untuk meningkatkannya kepada 55% menjelang 2015.
Kini jumlah pekerja wanita bukan sahaja hampir sama dengan jumlah pekerja lelaki, malah jenis pekerjaan yang dipegang oleh mereka juga turut membanggakan. Laporan Perniagaan Antarabangsa Grant Thornton tahun lepas meletakkan Malaysia di kedudukan bersama ke-9 di dunia untuk jumlah jawatan pengurusan kanan yang dipegang oleh wanita, iaitu sebanyak 31%. Kita juga mempunyai beberapa wanita yang memegang jawatan pucuk pimpinan di dalam Kerajaan, membentuk dasar-dasar ekonomi dan kewangan negara contohnya seperti di Suruhanjaya Sekuriti, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Bank Negara.
Jika anda seorang wanita muda di Malaysia, saya harap anda jadikanlah tokoh-tokoh wanita daripada generasi sebelum anda sebagai inspirasi, contohnya seperti Allahyarhamah Tun Dr. Fatimah Hashim, Tan Sri Dr. Devaki Krishnan, Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman, Judy Cheng-Hopkins, mendiang Dato’ Sri Tra Zehnder, Datuk Agnes Shim, Datuk Nicol David dan Datuk Michelle Yeoh, antaranya.
Saya percaya anda mempunyai masa hadapan yang lebih cerah. Rancangan Malaysia ke-10 telah menggariskan program-program utama yang tertumpu kepada peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja serta bilangan wanita yang memegang jawatan peringkat pembuat keputusan, meningkatkan penyediaan sokongan bagi balu, ibu tunggal dan mereka yang berpendapatan rendah, dan menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita.
Oleh itu, sama ada anda seorang gadis yang sedang mencari langkah pertama atau seorang wanita yang mencari langkah seterusnya, nasihat saya rebutlah pelbagai peluang yang telah disediakan oleh kerajaan untuk anda. Jika anda mempunyai sebarang idea atau cadangan untuk meningkatkan pembangunan wanita di Malaysia, kongsilah dengan saya. Wawasan 2020 adalah satu usaha kolektif dan kejayaan semua rakyat Malaysia dipandu oleh prinsip-prinsip 1Malaysia yang menyeluruh.