Thaipusam 2012

Sekali lagi, kita dapat menghayati kepelbagaian budaya negara kita ketika masyarakat Hindu di Malaysia menyambut perayaan Thaipusam dengan mengunjungi kuil-kuil di seluruh negara untuk menunaikan hajat serta untuk memanjatkan kesyukuran mereka.
Ramai juga yang akan bernazar dan berdoa untuk kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang terjamin bagi anak-anak mereka. Adalah menjadi lumrah bagi setiap individu mempunyai keinginan untuk menambah baik kualiti kehidupan diri sendiri dan orang kesayangan mereka.
Kerajaan mengetahui dan memahami keinginan tersebut dan menyeru masyarakat Hindu di Malaysia untuk terus meletakkan kepercayaan atau pun ‘nambikei’ mereka di dalam Kerajaan. Dengan kepercayaan ini, Kerajaan dapat bekerjasama dan membantu komuniti secara lebih efektif dalam menangani cabaran serta dalam mencapai hasrat anda untuk kehidupan yang lebih baik. Kami sentiasa komited untuk memenuhi segala janji kami kepada komuniti dan akan melakukan apa yang diperlukan untuk membantu mereka mencapai impian masing-masing.
Saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan salam kepada masyarakat Hindu sempena sambutan hari Thaipusam yang penuh bermakna ini.