Cinta Romantis Ayu Raudah Bersama Zaquan(Jealous Aq)
CINTA ROMANTIS AYU RAUDHAH DAN ZAQUAN
Riak kebahagiaan jelas terpancar di wajah pasangan ini. Lirikan mata dan ungkapan ‘sayang’ bermain di bibir mempamerkan ikatan kasih sayang yang cukup erat antara keduanya. Sesekali, sang suami menyakat isteri yang sehinggakan suasana menjadi riuh dengan gelak tawa dan usikan manja sesama mereka.
Janji temu diatur bagi menggandingkan kedua mereka sebagai penghias majalah MW diterima dengan hati terbuka. Biarpun masing-masing sibuk dengan urusan kerja, namun kedua-duanya tetap mencuri masa merealisasikan hasrat penulis.
Pasangan sama cantik sama padan ini mula berkenalan Mei 2009 ketika keluar minum bersama rakan-rakan. Selepas itu, mereka saling berbalas SMS seterusnya membawa kepada perhubungan lebih serius apabila Zaquan Adha Abdul Radzak, 23 tanpa berselindung melamar Ayu Raudah, 26 untuk menjadi peneman sehidup semati.
Perbezaan usia bukanlah penghalang besar buat pasangan ini untuk melayari alam rumah tangga. Tanggal 20 Januari 2011 menjadi detik bersejarah buat pasangan merpati sejoli apabila selamat diijabkabulkan menjadi suami isteri.
Tidak sampai setahun hidup sebumbung, pasangan ini kemudiannya menerima perkhabaran gembira apabila Ayu Raudhah atau nama sebenarnya Raudhah Che Wan, disahkan hamil enam minggu. Pun begitu kegembiraan bakal ibu dan ayah muda ini tidak kekal lama apabila Ayu mengalami keguguran sekali gus menghancurkan harapan mereka untuk menimang cahaya mata.Redha dengan berita tersebut, baik Ayu mahupun Zaquan menerimanya dengan hati terbuka.
“Ketika menerima berita mengenai saya mengandung memang saya cukup teruja, berdebar-debar dan cemas. Manakan tidaknya, sebelum itu kami sudah membuat pemeriksaan tetapi keputusannya negatif.
“Selepas itu, doktor sahkan saya mengandung dan kami bersyukur sangat. Tetapi keesokan harinya, saya keguguran dan memang sedih sebab baru nak bergembira sudah jadi begini. Namun saya redha dengan apa yang berlaku, mungkin belum ada rezeki untuk kami menimang cahaya mata.
“Lagipun, menurut doktor saya tidak mempunyai masalah untuk mengandung lagi selepas ini. Malah, saya sudah kembali shooting dua hari selepas keguguran memandangkan saya terbabit dengan penggambaran drama ‘Gemersik Kalbu’ yang kini ditayangkan di TV3 bagi slot Akasia. Pun begitu saya tetap mengamalkan berpantang dengan mengelakkan makanan sejuk dan sebagainya,” ulas Ayu yang memegang watak Raihana dalam drama bersiri 24 episod ‘Gemersik Kalbu’ yang diadaptasi dari novel Anis Ayuni.
Ulang-alik Seremban-KL Demi Suami
Usai penggambaran drama Gemersik Kalbu selama tiga bulan, Ayu kemudiannya mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada menerima sebarang tawaran. Selain itu adik kepada pelakon terkenal Rozita Che Wan ini mahu meluangkan masa bersama suami tersayang memandangkan sebelum ini sibuk dengan penggambaran.
“Ketika penggambaran berlangsung selama lebih kurang tiga bulan, saya terpaksa berulang-alik setiap hari dari Seremban ke Meru, Hulu Langat kemudian ‘lari’ ke Ampang. Ketika itu, saya dan Zaquan belum berpindah ke Subang Jaya lagi.
“Walaupun terpaksa keluar awal pagi dan sampai rumah lewat malam, tetapi saya tidak kisah kerana sudah menjadi tugas saya sebagai isteri harus ada di samping suami. Mujurlah Zaquan memahami kerja saya sebegini dan dia tidak merungut walaupun saya balik lambat.
“Disebabkan itu, habis sahaja penggambaran drama Gemersik Kalbu, saya mengambil keputusan untuk berehat seketika dari menerima tawaran. Saya tidak nafikan, waktu di set penggambaran sesekali saya rasa bersalah kerana terpaksa meninggalkan suami sendirian tetapi apa boleh saya buat, ini kerjaya saya.
“Sebab itu juga, saya sanggup berulang-alik dari Seremban ke set penggambaran setiap hari. Kini, saya dan Zaquan sudah berpindah ke rumah sendiri di Subang, jadi selepas ini mudahlah sedikit urusan saya jika ada penggambaran di luar,” jelas Ayu yang kini menantikan tayangan filem ‘Untuk Tiga Hari’ bergandingan bersama Adflin Shauki dan Vanidah Imran.
Ditanya perasaan bergandingan sebagai suami isteri dengan pelakon Aqasha bagi drama tersebut, Ayu hanya tersenyum manis. Akuinya, sebelum ini pernah berlakon bersama tetapi tidak banyak ‘scene’ seperti drama ini.
“Memandangkan kami sama-sama dah berkahwin, jadi bila perlu melakukan babak romantis, saya agak segan juga. Walaupun ini kali kedua kami bekerjasama, saya tetap rasa kekok, kerana ketika kali pertama dulu tidak banyak babak melibatkan saya dan Aqasha. Mungkin juga antara kami ada ‘chemistry’ lalu melancarkan lagi penggambaran drama ini,” tuturnya sambil memberitahu sekiranya berkelapangan, Ayu akan turun padang memberi sokongan kepada suami baik ketika sesi latihan mahupun perlawanan.
“Kami berkongsi minat dan hobi yang sama iaitu suka lepak di rumah, suka tidur. Selain itu, kami juga tidak minat tengok wayang, pasti kedua-dua kami akan tertidur di dalam panggung. Lagi satu, Zaquan suka berjoging, saya pula tidak.
“Tapi saya akan menemaninya ketika dia berjoging. Kami berdua juga sama-sama suka makan dan bangun tidur sahaja kami sudah memikirkan apa yang mahu dimakan,” seloroh Ayu manakala Zaquan tertawa kecil sambil mengangguk-anggukan kepala bersetuju dengan isteri.
Selain aktif dalam bidang seni, Ayu kini turut mengorak langkah menceburi bidang bisnes bersama-sama dengan tiga orang kakaknya. Butik menjual tudung yang diberi nama Padusi itu hasil kolaborasi antara Ayu dengan Rozita dan seorang lagi kakaknya, Ruby.
“Selain dijual di butik, tudung ini juga turut dipasarkan melalui online dan saya bersama Rozita akan menjadi duta untuk tudung sendiri. Kebetulan juga saya pernah dilantik sebagai duta tudung sebuah butik dan kakak saya juga boleh menjahit. Dari situ timbul idea untuk membuka butik menjual tudung,” ujar Ayu yang cukup bahagia bergelar isteri lebih-lebih lagi kepada insan yang disayangi.
Zaquan Cemburu Lihat Aksi Ayu
Sementara Zaquan ketika ditanya perasaan bergelar suami kepada selebriti terkenal mengakui tidak mempunyai masalah memandangkan sejak awal sudah tahu perjalanan seni isterinya itu. Pun begitu, dia tidak menafi kan, kadang-kala timbul rasa cemburu melihat adegan yang membabitkan isterinya bersama pelakon lelaki.
“Bohonglah andai saya cakap tidak cemburu melihat adegan membabitkan Ayu dan pelakon lelaki lain. Tetapi saya tahu apa yang dilakukan adalah atas dasar kerja dan sebelum kahwin saya sudah tahu inilah karier Ayu.
“Jadi, saya terima seadanya. Malah, saya tidak pernah komen lakonan dia kerana saya sendiri tidak pandai berlakon,” ujar Zaquan yang kini bermain untuk pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Dalam pada itu, dia juga meletakkan sasaran untuk aktif dalam sukan bola sepak sehingga usia 35 tahun saja dan kemudian akan cuba memberi tumpuan pada bidang lain pula.
“Lagipun sampai bila saya boleh meneruskan karier dalam bidang sukan. Saya harus memikirkan perancangan dan hala tuju masa depan bersama isteri dan Insya-Allah untuk anak-anak kami kelak.
“Saya cukup berminat dalam bidang bisnes dan kalau boleh saya mahu membuka bisnes makanan. Sejak dulu inilah bidang yang cukup saya minati, tambah lagi saya memang suka makan.
“Cuma pernah saya bergurau dengan Ayu, konon mahu menjadi pelakon sepertinya. Tetapi itu sekadar gurauan kerana saya tiada bakat dalam bidang ini, baru berdepan dengan kamera sudah gugup, macam mana nak berlakon,” seloroh Zaquan yang mempunyai cara tersendiri memberi nasihat kepada isterinya mengenai penampilan. Katanya dia akan menyampaikannya secara gurauan, sekiranya cara berpakaian Ayu agak seksi di pandangan matanya.
Kecewa Isteri GugurDitanya perasaan setelah mengetahui Ayu keguguran baru-baru ini, kembar kepada Aidil Zafuan ini nyata agak sedih dan kecewa. Namun dia menerima dengan hati yang redha.
“Saya bawa Ayu berjumpa doktor untuk pemeriksaan selepas dia tidak datang haid. Waktu itu saya sudah terbayang dialog seperti dalam drama apabila doktor mengucapkan tahniah. Tetapi semua itu meleset, doktor hanya bersikap biasa-biasa sahaja.
“Saya terkejut dan seolah-olah tidak percaya sehinggakan di dalam kereta saya masih tertanya-tanya betul ke Ayu mengandung. Apabila saya memberitahu keluarga, mereka menasihati supaya jangan terlalu teruja kerana masih dalam peringkat baru, pelbagai perkara boleh berlaku, rupanya betul.
“Esoknya Ayu mengalami pendarahan dan doktor kata isteri saya mengalami keguguran. Saya dan Ayu redha mungkin belum rezeki kami untuk menimang cahaya mata lagi. Jadi buat masa sekarang kami fokus pada kerjaya, jika ada rezeki kami terima dengan gembira,” ujar Zaquan yang tidak menyangka bertemu jodoh dengan selebriti memandangkan pada awalnya dia tidak sukakan artis.
SUMBER : KARANGKRAF WANITA